Posted by: matapensel | May 14, 2008

Sebuah KEINGINAN

Ketika saya di bangku sekolah dahulu, sering sekali saya mendengar para motivator menceritakan tentang kisah sperma. Bagaimana dari ratusan ribu yang hidup, hanya satu yang berjaya sampai ke matlamatnya, dan akhirnya bersenyawa dengan ovum sebelum menjadi manusia (baca:diri sendiri). Kisah ini mereka gunakan untuk memberi inspirasi buat kami para pelajar, agar meneruskan hidup dengan mengetahui bahawa diri kami adalah hebat, malah yang terhebat.

Tapi bagi saya, bila mendengar kisah tersebut, bukan kehebatan yang terbayang di kepala saya. Tapi saya terbayang tentang sebuah KEINGINAN. Keinginan yang terlalu kuat, sehingga menjadi pendorong untuk mara mengejar matlamat dan mengalahkan yang lain. Dari sperma yang mempunyai keinginan terkuat, lahir manusia yang juga mempunyai benda yang sama, iaitu sebuah KEINGINAN.

Melihat anak saya membesar, buat saya sedar bahawa Allah memang membekalkan manusia dengan sebuah KEINGINAN. Bayi yang kecil penuh dengan keinginan, sanggup menangis sekian lama sehingga kehabisan suara demi keinginan untuk makan, atau selasa dari nappy yang basah. Bila boleh merangkak atau berjalan, habis seluruh rumah diteroka. Kalau cuba dihalang, dia akan cuba mencari helah dengan pelbagai cara demi mendapat apa yang diinginkannya. Biarpun jatuh berkali2, tapi tetap terus mencuba untuk menggapai benda2 yang diinginkannya.

Tapi sayangnya saya sering melihat, bahawa manusia bila semakin membesar, keinginan itu akan semakin kurang kekuatannya. Manusia di masa kecil, sanggup jatuh berkali2 demi mendapatkan benda yang diinginya dari atas rak buku, tapi bila sudah dewasa sering menyerah kalah awal2 lagi sebelum mencuba lagi.

“Susah lah Todai tuh, nanti tak boleh grad pula!,” kata seorang kohai yang sebelumnya memberitahu saya bahawa beliau teringin untuk belajar di sana.

“100 orang untuk target bagi ISK? Mana nak cari banyak tu?” keluh seorang teman pada saya setelah diberitahu tentang target program kerja kita.

“Taknaklah susah2 sambung belajar, lepas grad degree terus kerja macam orang lain lagi senang,” beritahu seorang kawan kepada saya suatu ketika dahulu.

Rasanya tak perlu saya berhujah tentang optimisme ataupun konsep ’Aim High’, juga tentang gesaan khairul ummah dan jiddiyah, kerana KEINGINAN iaitu perkara paling asas yang menggerakkan manusia itu sendiri seakannya sering tidak ada dalam diri manusia. Yang ada mungkin mimpi dan angan2, tapi ingat ia akan segera terkubur jika tidak disuburi dengan sebuah KEINGINAN.

Rasulullah memulai dakwahnya dengan sebuah KEINGINAN mengubah masyarakatnya yang hidup dalam keadaan jahil. Baginda beruzlah di Gua Hira’ memikirkan tentang masalah masyarakat sekian lama, sehingga Allah menganugerahi KEINGINAN tersebut dengan sebuah wahyu kerasulan.

Begitu juga semua tokoh manusia yang pernah hidup di atas muka bumi ini, tidak kira yang baik atau yang jahat, semuanya memulakan karya yang hebat dengan sebuah KEINGINAN. KEINGINAN itu bukannya harus sesuatu yang ideal, yang wajib kita capai, tapi yang lebih penting adalah ia harus sesuatu yang BESAR dan MULIA.

Soalan saya, apakah KEINGINAN anda?


Leave a response

Your response:

Categories