Siapa yang tidak kenal dengan Mus’ab bin Umair, seorang pemuda glamorous Mekah yang meninggalkan segalanya demi bersama dengan dakwah Rasulullah s.a.w. Beliau terkenal sebagai duta pertama umat Islam yang dikirim ke Madinah dan akhirnya berjaya mengislamkan sekurang-kurangnya seorang dalam setiap rumah di Madinah.
Kemuncak kehidupan beliau adalah ketika Perang Uhud, dimana beliau telah diberi amanah yang cukup berat untuk memegang bendera Islam dalam peperangan tersebut. Mus’ab bin Umair telah menemui syahidnya ketika bermati-matian mempertahankan bendera Islam yang diamanahkan kepadanya daripada dijatuhkan oleh tentera kafir; yang menyerang dari belakang setelah pasukan pemanah uhud meninggalkan posisi mereka.
Ibrahim ibn Muhammad, saudara dari keluarga ayahnya, berkata; Mus’ab ibn ‘Umair membawa tiang bendera perang ketika perang Uhud. Disaat pasukan muslimin berpecah-belah, Dia berdiri dengan tegap sampai ketika ia bertemu Ibn Qaami’ah yang seorang panglima pasukan kafir Mekkah. Ibn Qaami’ah kemudiah memukul dan memotong tangan kanan Mus’ab, tetapi beliau tetap dengan teguh memegang bendera dengan tangan kirinya sambil berkata “Dan sungguh Muhammad SAW itu adalah seorang nabi, dan Nabi-nabi telah meningal sebelumku”. Kemudian Ibn Qaami’ah memutuskan tangan kiri Mus’ab. Mus’ab tetap menegakkan bendera perang dengan lengan atas dan dadanya sambil berkata “Dan sungguh Muhammad SAW itu adalah seorang nabi, dan Nabi-nabi telah meningal sebelumku”. Kemudian datang parajurit kafir ketiga yang menghujamkan tombaknya ke dada Mus’ab sebelum beliau menemui syahid..
Kali pertama mendengar kisah syahid Mus’ab bin Umair, membuat saya termenung seketika. Termenung kerana memikirkan tentang kesungguhannya untuk terus menegakkan bendera tentera Islam ketika itu. Sedangkan bagi saya secara rasionalnya, lebih baik diletakkan sebentar bendera dan digunakan tangan kiri dan qudrat yang tersisa untuk menentang musuh-musuh yang datang menyerang bertubi-tubi ketika itu.
Begitu pentingkah sebuah bendera? Sehingga tidak boleh dibiarkan sebentar? Sehingga lebih penting dipertahankan daripada diri sendiri?
Semakin lama mengharungi dan berinteraksi dengan dunia dakwah, membuatkan saya mula mengerti akan perasaan Mus’ab bin Umair ketika mempertahankan bendera Islam. Sungguh yang dipertahankan bukanlah sehelai kain yang diikat pada sebatang tiang, sebaliknya adalah roh dan semangat perjuangan seluruh betalion tentera Islam ketika itu. Berikut adalah beberapa kepentingan bendera yang terlintas di fikiran saya:
1. Menyatukan semua pejuang
Bayangkan apa yang akan terjadi jika Mus’ab bin Umair meletakkan sebentar bendera Islam… Pastinya pejuang Islam yang lain akan cemas dan hilang halatuju kerana tidak nampak akan bendera yang menyatukan perjuangan. Mungkin ada yang menyangka bahawa Islam telah kalah, ataupun telah berundur lari dari medan perang. Akhirnya pejuang Islam akan mula berpecah kepada bermacam-macam pemikiran dan prasangka, sehingga melemahkan gerakan perjuangan itu sendiri.
2. Memandu arah perjuangan
Bayangkan apa yang akan terjadi jika Mus’ab bin Umair meletakkan sebentar bendera Islam… Dalam keadaan pejuang yang sedikit mungkin peranan bendera tidak begitu besar. Namun, apabila pejuang semakin ramai, perlunya dilihatkan kepada mereka bendera kita agar masing-masing nampak dan jelas tentang arah perjuangan. Sepertimana Mus’ab bin Umair yang memandu tentera Islam ke kiri atau ke kanan dengan bendera, perjuangan juga perlukan bendera untuk memberi taujih ataupun memandu halatuju pejuang-pejuang kita.
3. Membezakan kita dengan yang lain
Bayangkan apa yang akan terjadi jika Mus’ab bin Umair meletakkan sebentar bendera Islam… Pejuang-pejuang Islam akan mula keliru, dan tidak mampu membezakan antara Islam dan kafir. Itulah peranan bendera, untuk membezakan antara satu angkatan dengan angkatan yang lain, ataupun satu kateebah dengan kateebah yang lain. Tanpa bendera pastinya semua kelihatan sama dengan pakaian, senjata dan kuda perang, walupun tujuan dan manhaj sebenarnya berbeza.
4. Memperlihatkan kehebatan kita kepada yang lain
Bayangkan apa yang akan terjadi jika Mus’ab bin Umair meletakkan sebentar bendera Islam… Semangat juang tentera kafir pastinya akan semakin tinggi dengan sangkaan bahawa tentera Islam telah mula lemah/kalah. Mereka akan semakin menyerang dengan bertubi-tubi dan akhirnya menyebabkan kekalahan tentera Islam. Penonton-penonton yang memperhati juga akan hilang keyakinan pada tentera Islam, dan mungkin beralih sokongan kepada tentera kafir.
Diharap ulasan diatas dibaca bukannya baris demi baris, tetapi apa yang ada di antara baris.
Sunnah perjuangan dakwah tetap sama, dimana bendera merupakan satu aset yang cukup penting untuk menjana kemenangan dakwah. Mereka yang tinggi mengibarkan bendera, walaupun lemah, akan kelihatan kuat dan mampu menarik lebih ramai orang untuk bergabung dengan mereka. Sebaliknya, mereka yang tidak himmah untuk mengibarkan bendera, walaupun kuat, akan kelihatan lemah dan tidak mampu menarik malah mungkin menjauhkan orang daripada bergabung dengan mereka.
Usah bimbang, usah sangsi. Ayuh! Tinggikan bendera!
