Posted by: matapensel | November 10, 2008

Diam yang panjang

Hari ini sudah lebih 4 bulan saya tidak mencoretkan apa-apa di ruangan matapensel.

Mungkin kerana tidak ada masa ya?

(Rasanya tidak juga…)

Sebenarnya saya terfikir tentang tema penulisan yang sepatutnya saya tulis. Persoalan yang selama 4 bulan, saya tanyakan kepada diri saya, “Mahu menulis tentang apa ya?”

Lihat di sekeliling, blog-blog dakwah yang menceritakan tentang akidah, fikrah, ruhiyyah, tazkirah, kisah sahabat sudah terlalu banyak. Adakah saya perlu menerjunkan diri kepada konsep penulisan sebegitu?

Islam itu syumul, bukan hanya perkara-perkara yang berlegar di sekitar tema-tema diatas. Menurut pemerhatian saya, masih ada ruang-ruang kosong yang perlu diisi. Buat melengkapkan pembinaan fikrah dalam diri setiap individu muslim.

Amal ‘Am perlu berstrategi.

Nantikan kemunculannya. (sambil doakan saya punya kekuatan utk isitqamah.. ) 

Advertisements
Posted by: matapensel | June 17, 2008

Jalan menuju ukhuwwah

Ahad lepas kerana rumah digunakan oleh para akhwat untuk program berkala mereka, saya melarikan diri berjumpa dengan teman-teman ter’chenta’. Seronok juga kerana rasanya dah lama tidak santai, berbincang, dan makan bersama.

Memang betul kata buku, kadang-kadang perlu juga untuk suami atau isteri keluar menghabiskan masa bersama kawan masing-masing. Sebab memang akan ada ruang-ruang perasaan yang tidak mampu dipenuhi oleh teman lain jantina. hehe. jangan marah ye sayang!

Anyway, sempat berbual dengan seorang teman tentang ukhuwwah.

Katanya, “Kita biasa ingat ukhuwwah itu ada 2 level, rupanya ada 4 level.”

“Level apa tuh?” tanya saya. Tak pernah dengar pulak level2 nih.

“Pertama ialah kita merasakan ukhuwwah dengan kawan kita, dan kedua ialah kawan kita merasa ukhuwwah dengan kita,” jawab teman saya.

Saya mengangguk setuju. Memang ukhuwwah adalah proses 2 hala yang tidak boleh wujud hanya dengan usaha satu pihak sahaja.

“Yang lagi 2 level tu apa?” tanya saya sedikit tidak sabar ingin tahu.

Teman saya tersenyum.

“Yang ketiga ialah kita yakin bahawa kawan kita benar-benar sayang atau percaya dengan kita. Dan begitu juga sebaliknya, yang keempat, kawan kita yakin bahawa kita benar-benar sayang atau percaya dengan dia.”

Saya tersenyum. Sesungguhnya ukhuwwah itu adalah satu nikmat.

3:103. Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.

Wallahualam.

*Ukhuwwah= Persaudaraan, brotherhood, rasa cinta, ambil berat, kenal habis-habisan, husnul zhon, saling bantu-membantu, saling menanggung beban atau kesusahan.

Posted by: matapensel | June 11, 2008

Ayuh! Tinggikan bendera!

Siapa yang tidak kenal dengan Mus’ab bin Umair, seorang pemuda glamorous Mekah yang meninggalkan segalanya demi bersama dengan dakwah Rasulullah s.a.w. Beliau terkenal sebagai duta pertama umat Islam yang dikirim ke Madinah dan akhirnya berjaya mengislamkan sekurang-kurangnya seorang dalam setiap rumah di Madinah.

Kemuncak kehidupan beliau adalah ketika Perang Uhud, dimana beliau telah diberi amanah yang cukup berat untuk memegang bendera Islam dalam peperangan tersebut. Mus’ab bin Umair telah menemui syahidnya ketika bermati-matian mempertahankan bendera Islam yang diamanahkan kepadanya daripada dijatuhkan oleh tentera kafir; yang menyerang dari belakang setelah pasukan pemanah uhud meninggalkan posisi mereka.

Ibrahim ibn Muhammad, saudara dari keluarga ayahnya, berkata; Mus’ab ibn ‘Umair membawa tiang bendera perang ketika perang Uhud. Disaat pasukan muslimin berpecah-belah, Dia berdiri dengan tegap sampai ketika ia bertemu Ibn Qaami’ah yang seorang panglima pasukan kafir Mekkah. Ibn Qaami’ah kemudiah memukul dan memotong tangan kanan Mus’ab, tetapi beliau tetap dengan teguh memegang bendera dengan tangan kirinya sambil berkata “Dan sungguh Muhammad SAW itu adalah seorang nabi, dan Nabi-nabi telah meningal sebelumku”. Kemudian Ibn Qaami’ah memutuskan tangan kiri Mus’ab. Mus’ab tetap menegakkan bendera perang dengan lengan atas dan dadanya sambil berkata “Dan sungguh Muhammad SAW itu adalah seorang nabi, dan Nabi-nabi telah meningal sebelumku”. Kemudian datang parajurit kafir ketiga yang menghujamkan tombaknya ke dada Mus’ab sebelum beliau menemui syahid..

Bendera

Kali pertama mendengar kisah syahid Mus’ab bin Umair, membuat saya termenung seketika. Termenung kerana memikirkan tentang kesungguhannya untuk terus menegakkan bendera tentera Islam ketika itu. Sedangkan bagi saya secara rasionalnya, lebih baik diletakkan sebentar bendera dan digunakan tangan kiri dan qudrat yang tersisa untuk menentang musuh-musuh yang datang menyerang bertubi-tubi ketika itu.

Begitu pentingkah sebuah bendera? Sehingga tidak boleh dibiarkan sebentar? Sehingga lebih penting dipertahankan daripada diri sendiri?

Semakin lama mengharungi dan berinteraksi dengan dunia dakwah, membuatkan saya mula mengerti akan perasaan Mus’ab bin Umair ketika mempertahankan bendera Islam. Sungguh yang dipertahankan bukanlah sehelai kain yang diikat pada sebatang tiang, sebaliknya adalah roh dan semangat perjuangan seluruh betalion tentera Islam ketika itu. Berikut adalah beberapa kepentingan bendera yang terlintas di fikiran saya:

1. Menyatukan semua pejuang
Bayangkan apa yang akan terjadi jika Mus’ab bin Umair meletakkan sebentar bendera Islam… Pastinya pejuang Islam yang lain akan cemas dan hilang halatuju kerana tidak nampak akan bendera yang menyatukan perjuangan. Mungkin ada yang menyangka bahawa Islam telah kalah, ataupun telah berundur lari dari medan perang. Akhirnya pejuang Islam akan mula berpecah kepada bermacam-macam pemikiran dan prasangka, sehingga melemahkan gerakan perjuangan itu sendiri.

2. Memandu arah perjuangan
Bayangkan apa yang akan terjadi jika Mus’ab bin Umair meletakkan sebentar bendera Islam… Dalam keadaan pejuang yang sedikit mungkin peranan bendera tidak begitu besar. Namun, apabila pejuang semakin ramai, perlunya dilihatkan kepada mereka bendera kita agar masing-masing nampak dan jelas tentang arah perjuangan. Sepertimana Mus’ab bin Umair yang memandu tentera Islam ke kiri atau ke kanan dengan bendera, perjuangan juga perlukan bendera untuk memberi taujih ataupun memandu halatuju pejuang-pejuang kita.

3. Membezakan kita dengan yang lain
Bayangkan apa yang akan terjadi jika Mus’ab bin Umair meletakkan sebentar bendera Islam… Pejuang-pejuang Islam akan mula keliru, dan tidak mampu membezakan antara Islam dan kafir. Itulah peranan bendera, untuk membezakan antara satu angkatan dengan angkatan yang lain, ataupun satu kateebah dengan kateebah yang lain. Tanpa bendera pastinya semua kelihatan sama dengan pakaian, senjata dan kuda perang, walupun tujuan dan manhaj sebenarnya berbeza.

4. Memperlihatkan kehebatan kita kepada yang lain
Bayangkan apa yang akan terjadi jika Mus’ab bin Umair meletakkan sebentar bendera Islam… Semangat juang tentera kafir pastinya akan semakin tinggi dengan sangkaan bahawa tentera Islam telah mula lemah/kalah. Mereka akan semakin menyerang dengan bertubi-tubi dan akhirnya menyebabkan kekalahan tentera Islam. Penonton-penonton yang memperhati juga akan hilang keyakinan pada tentera Islam, dan mungkin beralih sokongan kepada tentera kafir.

Diharap ulasan diatas dibaca bukannya baris demi baris, tetapi apa yang ada di antara baris.

Sunnah perjuangan dakwah tetap sama, dimana bendera merupakan satu aset yang cukup penting untuk menjana kemenangan dakwah. Mereka yang tinggi mengibarkan bendera, walaupun lemah, akan kelihatan kuat dan mampu menarik lebih ramai orang untuk bergabung dengan mereka. Sebaliknya, mereka yang tidak himmah untuk mengibarkan bendera, walaupun kuat, akan kelihatan lemah dan tidak mampu menarik malah mungkin menjauhkan orang daripada bergabung dengan mereka.

Usah bimbang, usah sangsi. Ayuh! Tinggikan bendera!

Posted by: matapensel | May 28, 2008

Isteri seorang Daie

Dalam satu acara bersama Faudhil Adzim, penulis buku popular Kupinang Engkau Dengan Hamdalah beberapa ketika dahulu, beliau berpesan kepada kami khususnya para akhwat,,,

“Janganlah kamu tahan suamimu dirumah, kerana nanti pastinya dia akan meronta-ronta ingin keluar. Tapi sebaliknya relakan sahaja suamimu keluar, kerana pasti dia akan meronta-ronta ingin pulang ke pangkuanmu”

Buat isteri para daie yang saban hari menanti kepulangan suaminya di rumah dengan sabar, kutujukan kisah Lathifah As Suri untuk kamu semua.

Adalah Lathifah As Suri perempuan itu. Ia berdiri disamping Imam Syahid Al Banna. Sejak awal Imam Syahid telah menegaskan bahwa ia perlukan seorang muslimah yang kuat, yang tidak akan gentar dengan banyaknya halangan dan rintangan dalam berdakwah. Perjuangan Imam Syahid bukanlah suatu hal yang main-main, bukan hanya sekedar dakwah seperti ramai orang pada waktu itu. Bukan hanya sekedar membangun masjid atau surau. Imam syahid tengah dan hendak membangun sebuah peradaban. Dan ia percaya, peradaban tak akan pernah terwujud, tanpa seseorang yang ia yakini kesejatiannya.

Maka siapapun itu-pendampingnya-harus menyadari bahwa dipundaknya ada amanah yang sama besarnya dengan yang dipikul oleh Imam Syahid. Ada dimensi waktu dan kuasa modal disitu. Maka pertemuan diyakini menjadi suatu hal yang mahal bagi Imam Syahid dan istrinya.

Maka bagi Lathifah As Suri menjadi istri Hasan Al Banna memerlukan persiapan yang bukan main-main. Sejak awal pernikahan, Lathifah sudah menyadari bahwa ia harus siap jika ada waktu dia harus menjalani hidup sendiri tanpa seseorang, tempat berlabuh hidup dan cintanya.

Dakwah Ikhwah yang dipimpin oleh suaminya banyak meminta risiko yang bukan main-main. Penjara bahkan nyawa akan menjadi akibatnya, dan akan tiba menyapa pada bila-bila masa.

Tanpa diminta, Lathifah sudah tahu dan mengerti bagaimana ia harus menempatkan dirinya. Ia memutuskan menutup seluruh aktivitas luarnya. Hanya satu yang ia curahkan, jihad utamanya adalah dilingkup rumahnya sendiri. Mengurus rumah tangga dan membesarkan anak-anak mereka berdua adalah dua hal yang tidak kalah pentingnya dengan yang dilakukan oleh Hasan Al Banna.
Sebelum menikah dengan Hasan Al Banna, Lathifah berasal dari keluarga yang taat beragama. Hingga tak heran jika ia menyadari betul tuntutan hidup menjadi istri seorang daie.

Malam, ia harus rela untuk terbangun menyambut kepulangan suaminya. Walau tak jarang Imam Syahid berlaku sangat hati-hati, bahkan hanya untuk membuka pintu rumahnya sekalipun. Jauh dilubuk hatinya, Imam Syahid tidak ingin mengganggu tidur bidadari kekasihnya yang telah seharian mengurus rumah dan anak-anak mereka berdua. Imam Syahid bahkan tak segan untuk menyiapkan makan malam untuk dirinya sendiri.

Lathifah tidak pernah mengeluh, walau sehari-harinya hanya ia habiskan seputar rumah dan rumah saja. Ia tidak pernah menuntut lebih kepada Imam Syahid. Padahal, Lathifah pun -berlepas diri dari ia seorang istri Imam Syahid- menyimpan banyak potensi. Anak-anak mereka yang berjumlah enam orang sesungguhnya adalah pencurahan konsentrasinya menjalani hidup. Satu-satunya yang pernah membuat dirinya tergugah adalah, ketika salah satu anak mereka sakit keras dan Imam Syahid harus tetap menjalankan jihadnya. Ia bertanya kepada suaminya,”Bagaimana jika ia meninggal?”. Imam Syahid hanya menarik napas panjang, ia kemudian berujar “Kakeknya lebih tau bagaimana mengurusnya.”

Sejak kecil, Lathifah menanamkan wawasan keislaman kepada anak-anaknya. Mendorong mereka untuk membaca, sehingga dalam hidupnya mereka tidak terpengaruh dengan seruan-seruan jahiliyyah yang merosakkan. Ketika Imam Syahid bolak-balik keluar penjara, Lathifah berusaha bersabar dan komitmen. Lathifah sangat menyadari peranan dan kewajiban asasi seorang wanita sebagai istri dan ibu bagi anak-anaknya. Ia kosongkan waktunya untuk mendidik anak2nya. Ia bahagia melihat anak-anaknya sukses dalam hal akhlak dan amal. Ini tak mungkin terjadi jika seorang ibu sibuk di luar rumah. Seorang anak tidak mungkin belajar tentang akhlak dan amal dari orang selain ibunya.

Ketika Hasan Al-Banna syahid, anak-anaknya belumlah dewasa. Lathifah tidak lantas menyerah. Tidak ada gelisah, kesah ataupun ketakutan dalam hatinya. Ia sangat memelihara apa yang dikehendaki oleh arwah suaminya. Ia tetap tinggal didalam rumah. Lathifah tidak meremehkan hudud (batasan) yang Allah tentukan.

Karenanya, tak heran diantara anak-anaknya tidak ada ikhtilat (percampuran) antara anak-anaknya dan sepupunya yang berlainan jenis. Tidak ada yang berubah dirumah itu, apa yang Imam Syahid inginkan berlaku dikeluarganya masih tetap di pegang teguh oleh Lathifah. Sendirian, ia besarkan keenam anaknya. Dirumahnya kini ia mempunyai tugas tambahan, yaitu memperdalam wawasan keislamannya. Yang dimaksud dengan wawasan keislamannya adalah membaca Al-Quran dengan tafsirnya, mempelajari Sunnah Rasulullah SAW, haditsnya dilanjutkan dengan usaha kuat untuk menerapkannya. Lathifah juga masih menyempatkan diri mempelajari sejarah para salafussalih dan berita seputar dunia Islam. Lathifah menyadari memandang kecil masalah ini akan memunculkan persoalan serius. Seorang yang tidak menambah pengetahuan keislamannya, akan merasa sulit untuk bangga dengan keagungan dan kebesaran Islam. Dengan melalui pemahaman keislaman yang baik, seorang wanita akan menyadari betapa penting perannanya terhadap keluarga dan masyarakat.

Perjuangan Lathifah membuahkan hasil yang gemilang. Semua anaknya sukses meraih ijazah dalam pendidikan formal. Yang sulung, bernama Wafa-menjadi istri Dr.Said Ramadhan. Kedua Ahmad Saiful Islam, kini sebagai peguam di Mesir. Ia juga pernah duduk di parlemen. Ketiga bernama Tsana, kini sebagai pensyarah di Universitas Kairo. Kelima Roja, kini menjadi doktor. Dan Halah sebagai pensyarah perubatan kanak-kanak di Universitas Azhar. Dan terakhir, Istisyhad sebagai PhD dalam ekonomi Islam. Semuanya itu sebagai bukti, betapa berartinya sosok Ibu bagi keberhasilan dakwah sang suami. Selain juga untuk anak-anaknya

Moga Allah memberikan kekuatan kepada semua isteri para duat yang tidak pernah bosan membantu di balik tabir. Moga Allah membalas masa-masa kita yang hilang dengan ganjaran yang lebih baik di syurga…

Posted by: matapensel | May 26, 2008

Kesombongan dan Tawakkal

Weekend lepas merupakan weekend yang agak melelahkan, tapi sungguh bermakna bagi saya. Kerana setelah sekian lama saya belajar dan berbicara tentang tawakkal, baru hari ini saya rasa saya benar-benar telah berinteraksi dan menjiwainya. Terima kasih Allah atas tarbiyyah-Mu.

(Perbezaan antara belajar dan berinteraksi – tunggu post berikutnya insya Allah)

Sepanjang mengikuti tarbiyyah, setelah mengenal tasawwur Islam yang syumul dan wadith, kita akan mula diperkenalkan tentang dakwah. Dari fadhilat dan kewajipan dakwah, sehinggalah kepada fiqh dakwah. Semuanya diajar dalam bentuk teori yang merujuk kepada al-Quran dan Sunnah dakwah Rasulullah s.a.w. Teori ini kadang-kadang berbunyi indah. Bagaimana jika kita melakukan perkara 1, perkara 2 dan perkara 3, insya Allah akan menghasilkan natijah seperti A. Ataupun cerita-cerita sukses ikhwah akhwat di tempat lain, setelah melakukan pendekatan A ataupun pendekatan B.

Dengan teori dan cerita-cerita sukses yang sering disebut dalam setiap program tarbiyyah kita, kadang-kadang mencipta satu gambaran indah tentang dakwah di dalam minda para daie. Satu gambaran yang kemudian menimbulkan semangat yang tinggi untuk kita bergerak berdasarkan pendekatan-pendekatan yang diajar di dalam program tarbiyyah kita.

Tapi malangnya, tidak sedikit juga daie yang bila mula beramal di medan, beliau mendapati gambaran indah di dalam mindanya itu tidak selalunya sama dengan apa yang berlaku ketika beramal di medan. Mungkin kerana kekangan suasana, gangguan dari luar, kekurangan diri ataupun kerana kekurangan ikhwah lain. Sehingga akhirnya menjadikan mereka putus asa dan lelah kerana tidak dapat melihat apa yang mereka yakini dalam minda mereka.

Putus asa dan lelah, sehingga mula berfikir untuk melarikan diri.
Putus asa dan lelah, sehingga mula berfikir, “kalaulah ,,,”.
Putus asa dan lelah, sehingga mula menyalahkan ikhwah lain.

Sehingga akhirnya, mereka terus lari, meninggalkan rumah tarbawi ini tanpa notis dan mungkin kembali ke ‘alam asal’ duduk bersendirian, kalaupun tidak membenci dan mengutuk para ‘masyarakat tarbawi’ ini. (petikan dari ustaz muntalaq)

Oleh sebab itulah Allah mengajarkan kita tentang tawakkal…

Tawakkal bukan hanya lafaz di mulut. Dengan kemampuan berbicara atau menulis dengan menggunakan perkataan tawakkal, belum tentu bermakna yang kita telah tawakkal. Kerana tawakkal itu sebenarnya terlalu susah untuk tertanam di dalam hati. Ia tidak mungkin dapat ditanam dengan belajar atau mendengar tazkirah tentang tawakkal sahaja. Tidak semudah itu!

Tarbiyyah Allah telah mengajar saya hari ini, bahawa pohon tawakkal itu tidak mampu tumbuh apatah lagi membesar dalam hati kita jika masih wujud secubit kesombongan dalam hati kita, seperti mana cahaya yang tidak dapat memasuki sebuah bilik kerana ada langsir yang menutupi tingkap. Jika ingin cahaya masuk ke dalam bilik, kita harus selak langsirnya, maka begitu juga untuk tawakkal masuk ke dalam hati kita, maka kesombongan itu harus dicairkan terlebih dahulu.

Kesombongan ini bukannya kesombongan kerana harta ataupun kehebatan diri. Tapi adalah kesombongan apabila kita merasakan bahawa usaha kita adalah penentu kejayaan ataupun kegagalan dakwah. Apabila kita merasakan mad’u kita semakin baik kerana sentuhan tarbiyyah kita, maka itu adalah kesombongan. Ataupun sebaliknya apabila kita sedih kerana merasakan mad’u kita lari kerana kekurangan kita, maka itu juga adalah kesombongan.

Sombong kerana merasakan kitalah penentu hidayah masuk ke hati seseorang,,
Sombong kerana merasakan kitalah penentu hidayah tidak masuk ke hati seseorang,,
Sombong kerana lupa bahawa hidayah itu adalah hak Allah,,

Buanglah kesombongan ini dari hatimu, dan kembalikan semuanya pada Allah. Insya Allah semangat baru akan kita perolehi. Maemukide ikimasyou!

Older Posts »

Categories